NASIONAL

ATM hantar unit khas ke Pasir Gudang beri bantuan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 MAC: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar beberapa unit khas Pertahanan Nuklear, Biologi dan Kimia Tentera Darat (PNBK TD) ke Pasir Gudang susulan kes pencemaran, di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

ATM dalam kenyataan berkata, unit khas itu bertindak untuk melawan Kimia, Biologi, Radioaktif, Nuklear dan Letupan (CBRNE).

Katanya, sejumlah anggota PNBK TD sudah digerakkan ke Bilik Gerakan Operasi Dewan Taman Pasir Putih bagi meninjau lokasi bencana, menyelaras operasi selain membantu pasukan bomba dan penyelamat lain.

“Unit ini adalah sebahagian daripada 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (12 Skn RAJD) yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka.

“Ia turut dibantu pasukan doktor dan paramedik daripada dua Batalion Ubat Kor Kesihatan Diraja yang berpangkalan di Kem Mahkota, Johor.

“Peranan unit ini sangat penting bagi ATM terutama apabila menghadapi musuh yang menggunakan bahan kimia, biologi, radioaktif atau nuklear senjata,” katanya.

Pada masa sama, ATM berkata, selain ditubuhkan untuk mempertahankan negara, ia juga berperanan dalam Hazardous Material Disaster Management Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan dilengkapi aset nyahcemar serta peralatan pelindungan lengkap.


Pengarang :