SELANGOR

Elak guna laluan gelap Jalan Kereta Api Lama

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 14 MAC: Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika menggunakan Jalan Kereta Api Lama terutama pada waktu malam, di Kuala Selangor, di sini.

Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli berkata, mereka yang melalui laluan itu disaran untuk terus menghubungi polis jika ternampak perkara mencurigakan di kawasan terbabit.

“Mohon orang awam untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan persekitaran sama ada sedang memandu atau berjalan kaki.

“Malah, penduduk juga dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada melalui kawasan itu secara berseorangan,” tulisnya di Facebook.

Terdahulu, memetik laporan media tempatan, terdapat kejadian samun cubaan membaling batu daripada individu tidak dikenali kepada sesiapa sahaja yang menggunakan laluan terbabit.

Dipercayai tiga kejadian cubaan samun itu berlaku secara berturutan, pada hari sama, pada 11 Mac lalu dengan kejadian pertama berlaku pada 12.50 pagi membabitkan pemandu lelaki.

Manakala, kejadian kedua pada 1.50 pagi membabitkan dua lelaki sedang menaiki kereta yang menyebabkan cermin tingkap pecah, namun mangsa sempat melarikan diri apabila melihat suspek menghampiri kenderaan sambil memegang parang.

Kejadian ketiga sekitar jam 2 pagi membabitkan seorang mangsa berusia 28 tahun itu mengalami kecederaan akibat terkena batu yang dibaling suspek tetapi tiada rompakan berlaku kerana mangsa sempat melarikan diri.

Difahamkan, sehingga kini belum ada sebarang penangkapan, namun pengguna laluan terbabit diminta berhati-hati.


Pengarang :