SELANGOR

Awan kecam himpunan LGBT, desak tindakan tegas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MAC: Pihak berkuasa didesak mengambil tindakan tegas ke atas penganjur himpunan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang mengambil kesempatan ketika perarakan Hari Wanita Antarabangsa, semalam.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan), Dr Siti Mariah Mahmud berkata, himpunan itu bukan sahaja menimbulkan keresahan, malah membangkitkan kemarahan umat Islam, di negara ini.

Pihaknya turut kesal apabila himpunan memperingati hari wanita itu dicemari dengan insiden berkenaan.

“Kita memang bersetuju dengan hak kebebasan bersuara yang diamalkan di negara ini, namun tindakan pihak yang berkenaan semalam melampaui batas,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kerajaan berpendirian jelas dalam isu LGBT, selain memberi amaran supaya ruang demokrasi di negara ini tidak disalah guna untuk mempertahankan perkara yang salah di sisi agama.

“Perkara itu juga sering diingatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sambil berulang kali memberi amaran.

“Awan mendokong penuh pendirian perdana menteri yang menegaskan bahawa amalan LGBT tidak akan diterima sama sekali di negara ini,” katanya.

Semalam, kira-kira 300 orang berkumpul di Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

Acara itu memfokuskan lima tuntutan, iaitu menggesa supaya keganasan berdasarkan gender dan orientasi seksual dihentikan; melarang semua perkahwinan kanak-kanak; menjamin hak wanita terhadap diri dan kehidupan mereka; memastikan gaji minimum RM1,800 dan menghapuskan patriaki (ketuanan lelaki) dalam masyarakat.

Bagaimanapun, laungan ‘Jangan kacau LGBT” dan “Hidup LGBT” turut bergema ketika perhimpunan itu berlangsung.


Pengarang :