GLOBALNASIONAL

Bermuda pula larang Boeing 737 MAX di ruang udaranya

HAMILTON, 13 MAC: Susulan nahas di Habsyah, Bermuda kini melarang pesawat Boeing 737 MAX 8 dan 737 MAX 9 daripada ruang udaranya sehingga diberitahu kelak, kata pihak berkuasa penerbangan luar negara British, semalam.

“Pengawal selia di United Kingdom, Singapura dan Australia adalah profesional bebas. Saya pasti Pentadbir Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat akan mengambil kira penilaian mereka,” kata penganalisis Teal Group, Richard Aboulafia.

Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah dan banyak negara lain termasuk Britain, China, Australia, Jerman, Perancis, Malaysia serta Singapura turut menggantung pesawat terbabit.

Sementara itu, pengawal selia penerbangan AS hari ini berkata, tiada asas untuk menggantung pesawat Boeing 737 MAX, selepas satu daripadanya terbabit dalam nahas di Habsyah hingga mengorbankan 157 nyawa.

Ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Daniel Elwell berkata, setakat ini, tinjauan pihaknya tidak menunjukkan isu prestasi sistemik dan tiada asas mengarahkan penggantungan pesawat terbabit.

“Pihak berkuasa penerbangan awam lain juga tidak memberikan sebarang data untuk meyakinkan kami mengambil tindakan sedemikian,” katanya dalam kenyataan.

Ahad lalu, sebuah pesawat baru Ethiopian Airlines 737 MAX 8 terhempas beberapa minit sejurus berlepas dari Addis Ababa ke Nairobi, membunuh kesemua 157 penumpang.

Nahas itu berlaku hanya beberapa bulan selepas tragedi pesawat Lion Air 737 MAX di Indonesia, Oktober lalu mengorbankan 189 orang sejurus berlepas dari Jakarta.

Ia turut menyebabkan nilai pasaran syarikat pengeluar pesawat terbesar dunia itu merudum. –AFP & Reuters

 

 


Pengarang :