GLOBALNASIONAL

Virgin Australia tidak akan perkenal Boeing 737 MAX

SYDNEY, 13 MAC: Virgin Australia memberi jaminan kepada orang ramai bahawa mereka tidak akan memperkenalkan sebarang pesawat baru dalam penerbangannya, sehingga mereka berpuas hati dengan keselamatannya.

Kenyataan itu susulan nahas pesawat Ethiopian Airlines, yang mengorbankan 157 penumpang dan anak kapal, pada Ahad lalu.

Walaupun Virgin Australia tidak mempunyai pesawat Boeing 737 MAX 8 dalam penerbangan mereka, namun syarikat penerbangan itu mempunyai 30 pesawat dalam tempahan dari pengeluar Amerika Syarikat yang akan dihantar, pada November ini.

“Keselamatan adalah keutamaan nombor satu Virgin Australia,” kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataan pada Rabu, lapor agensi berita Xinhua.

Dianggarkan bernilai kira-kira 172 juta dolar Australia (US$ 121.45 juta), Virgin Australia berkata, pihaknya akan memantau keadaan itu dari masa ke masa dan akan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa.

Hanya lima bulan selepas pesawat Boeing 737 MAX 8 yang dikendalikan Lion Air tehempas hingga mengorbankan 189 nyawa, Ethiopian Airlines mengalami nasib sama sejurus berlepas dari Addis Ababa ke Nairobi, yang membunuh kesemua 157 penumpang.

Dengan pesawat itu kini berada di bawah penelitian pihak berkuasa penerbangan dunia, penyiasat sedang mengkaji sama ada terdapat kesalahan dalam sistem automatik pesawat terbabit.

Susulan itu, beberapa negara memutuskan untuk melarang penggunaan model pesawat itu sehingga maklumat lanjut diperolehi. -BERNAMA


Pengarang :