SELANGOR

OPAK tingkat sumber bekalan air di Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 MAC: Kerajaan Negeri sedang giat melaksanakan Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK), di Bestari Jaya bagi meningkatkan kebolehdapatan sumber air, sekali gus memastikan kesinambungan bekalan air kepada rakyat.

EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, OPAK adalah mekanisme jangka pendek dengan keupayaan 1,000 juta liter sehari.

“Ini bagi meningkatkan kapasiti Sungai Selangor dan mengoptimumkan pelepasan air empangan.

“Sebanyak 10 buah kolam sedia digunakan bagi tujuan abstraksi muka sauk Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 termasuk Lembangan Sungai Selangor yang membekalkan lebih 60 peratus bekalan air ke Selangor serta Lembah Klang,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga melaksanakan ‘Off-River Storage (ORS)’ kolam Hang Tuah bagi meningkatkan keberkesanan OPAK.

Ir Izham berkata, ORS yang dilancarkan pada 17 November 2016 itu meliputi kolam alternatif Hang Tuah terdiri daripada Kolam Hang Tuah 1 sehingga 7 yang mampu membekalkan 200 juta liter sehari.

“Ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada pelepasan air daripada Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi serta memanjangkan jangka hayat kapasiti takungan kedua-dua empangan berkenaan.

“Malah, apabila paras air Sungai Selangor tinggi terutama waktu hujan, air sungai akan dialirkan ke ORS ini,” katanya.

 


Pengarang :