GLOBAL

Burj Khalifa siar imej PM New Zealand

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 MAC: Bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa memberi penghormatan kepada New Zealand khususnya Perdana Menterinya, Jacinda Ardern apabila memaparkan imej pemimpin itu memeluk seorang wanita pada mercu tanda bangunan berkenaan.

Thenews.com.pk melaporkan, imej berkenaan adalah gambar yang diambil melalui jurugambar Wellington, Hagen Hopkins di Getty Images, ketika Ardern berada di Masjid Kilbirnie di Wellington.

Burj Khalifa memancarkan imej itu bermula malam tadi di samping tulisan Arab ‘Salam’ yang membawa maksud keamanan susulan serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 orang, minggu lalu.

Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE), Shaikh Mohammad Rashid Al Maktoum berkata, beliau mengucapkan terima kasih buat Ardern atas rasa empati dan sokongan ikhlas beliau kepada masyarakat Islam.

Semalam, penduduk New Zealand bertafakur selama dua minit bagi memperingati mangsa serangan pengganas itu.

Saluran televisyen dan radio tempatan turut menyiarkan secara langsung laungan azan dan solat Jumaat di Hagley Park, Christchurch yang dihadiri ribuan penduduk termasuk Ardern.


Pengarang :