SELANGOR

DNS sebulat suara kutuk serangan di Christchurch

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MAC: Dewan Negeri Selangor (DNS) sebulat suara meluluskan usul tergempar mengutuk serangan berdarah di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu.

Usul tersebut dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, Saari Sungib di bawah Peraturan Tetap 17(1) dan dibahaskan hampir satu jam oleh empat wakil kerajaan dan seorang wakil pembangkang.

Antara ADN yang mengambil bahagian bagi membahaskan usul tersebut adalah Syamsul Firdaus Mohamed Supri (Taman Medan), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang), Lim Yi Wei (Kampung Tunku), Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Law Weng San (Banting).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam penggulungannya berkata, tindakan kejam dan melanggar batasan kemanusiaan itu sememangnya satu perlakuan ekstrim serta diluar pemikiran manusia.

“Semua pihak perlu sepakat untuk bersama-sama menolak dan tidak membenarkan unsur-unsur sedemikian berlaku di negeri ini.

“Saya minta agar semua pihak tidak terpengaruh dengan anasir-anasir tersebut yang memberi kesan buruk buat masyarakat,” katanya.

Setakat ini, 50 orang dilaporkan terkorban dalam kejadian tembakan yang berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand.

Dalam pada itu, Speaker DNS, Ng Suee Lim menggesa Kerajaan Negeri untuk mengukuhkan dasar dan program keharmonian sesama budaya di negeri ini bagi meningkatkan sikap saling menghormati antara satu sama lain.

Katanya, Kerajaan Negeri juga perlu menguruskan fungsi atau peranan institusi surau, masjid dan institusi agama lain di Selangor sebagai medium menyebarkan mesej keamanan serta menghilangkan prejudis terhadap agama dan bangsa lain.


Pengarang :