Selangorkini
KULIM 29 Mac — Dua rakan kongsi Bujang Surprise Delivery, Mohd Zainal Azmi, 29 dan Mohd Azwan Fathullah, 24 mengenakan kostum watak animasai popular Spiderman ‘bersampin’ dan Minnie Mouse menunjukkan aksi mencuit hati dalam usaha untuk memenangi hati kanak-kanak terutama pada majlis hari lahir mereka yang kini semakin mendapat permintaan tinggi di dalam dan luar daerah dengan bayaran serendah RM50 hingga RM150 sejam. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
RENCANA

Guna kostum animasi jana pendapatan lumayan

KULIM, 31 MAC: Siapa sangka hanya bermodalkan empat helai kostum watak animasi popular seperti Spiderman, Minnie Mouse, Mickey Mouse dan beruang berharga RM1,000 dua anak muda di Kampung Seri Kejai di sini kini mampu menjana pendapatan bulanan yang lumayan sebagai penghibur.

Dua rakan kongsi bagi ‘Bujang Surprise Delivery’ Mohd Zainal Azmi, 29, dan Mohd Azwan Fathullah, 24, mempunyai prinsip yang sama tidak mahu bergantung kepada kerja makan gaji semata-mata dengan membuang perasaan malu mengenakan kostum itu untuk menghiburkan orang ramai di setiap majlis sejak tahun lepas.

“Kami tidak menyangka permintaan terhadap khidmat penghibur berkostum watak animasi di majlis keramaian seperti kenduri kahwin, sambutan hari lahir dan aktiviti bersukan kini mendapat permintaan tinggi di sekitar daerah ini,” kata Mohd Zainal yang juga seorang penjawat awam ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini.

Mohd Zainal berkata perkhidmatan berkenaan ditawarkan dalam beberapa pakej dengan caj berpatutan iaitu antara RM50 hingga RM150 setiap satu jam mengikut majlis yang ditempah.

“Kami caj paling rendah RM50 untuk perkhidmatan penghantaran barangan yang dipanggil hadiah kejutan dan selebihnya RM150 setiap jam bagi majlis keraian seperti kenduri kahwin dan hari lahir, namun ada juga yang percuma sahaja seperti untuk rumah anak-anak yatim dan warga emas,” katanya.

Dia berkata bagi memberi keselesaan kepada pelanggan, penjagaan kostum amat dititik beratkan supaya tidak berbau dan sentiasa dalam keadaan bersih.

“Kalau jadi penghibur ini kami memang kena bergaul dengan orang ramai terutama kanak-kanak, kami perlu bermain dan mendekati mereka. Malah kami juga sentiasa memastikan emosi sentiasa dikawal walaupun sedang marah, atau sedih ini adalah cabaran yang agak sukar,” katanya.

Sementara itu, bagi Mohd Azwan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Multimedia itu berkata profesion berkenaan bukan hanya untuk menggembirakan orang semata-mata tetapi banyak mengajarnya erti kesabaran dalam mencipta kejayaan.

“Mempunyai segulung ijazah bukan kunci utama untuk kita berjaya, sebaliknya usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa yang diperlukan untuk kita berjaya dalam apa juga bidang.

“Syukur percubaan kami berdua tidak sia-sia malah mendapat permintaan dari dalam dan luar daerah sehingga tidak mampu kami nak penuhi dan terpaksa tolak terutama ketika musim cuti sekolah dan hari minggu,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :