SELANGOR

Haniza optimis rakyat undi Aiman, Rumah SelangorKu terus diperluas

OLEH SHEEDA FATHIL

SEMENYIH, 2 MAC: Rakyat di Selangor akan terus berpeluang memiliki kediaman Rumah SelangorKu sekiranya memilih kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mentadbir.

Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha berkata, beliau optimis rakyat akan memilih Muhammad Aiman Zainali pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Sekiranya anda memilih Muhammad Aiman pada PRK, saya berani menyatakan bahawa penduduk di Semenyih terutamanya akan terus berpeluang menikmati Rumah SelangorKu.

“Sehingga kini, banyak projek Rumah SelangorKu sedang berjalan di DUN Semenyih yang rata-ratanya serendah harga RM42,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Grand Finale di Bandar Tasik Kesuma, Taman Permainan Pangsapuri Baiduri, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar berkata, kerajaan PAKATAN komited dalam menjaga kebajikan rakyat sejak dulu lagi.

“Kita sentiasa memastikan rakyat memiliki kediaman selesa dengan harga berpatutan yang mempunyai tiga bilik dan dua tandas malahan tidak kurang daripada itu,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pengundi untuk keluar mengundi hari ini dan mengundi calon yang tepat.

Aiman, 30, bapa kepada seorang anak, kini bertugas sebagai seorang jurutera dan juga Bendahari BERSATU bahagian Hulu Langat.

PRK Semenyih bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PAKATAN), Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon bebas, Kuan Chee Heng.

Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 ekoran serangan jantung pada 11 Januari lalu.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14.

Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK masing-masing di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

 


Pengarang :