NASIONAL

Imigresen Selangor tahan 149 warga asing di Klang

SHAH ALAM, 2 MAC: Jabatan Imigresen Selangor menahan 149 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi di sebuah asrama pekerja di Bandar Sultan Suleiman, Klang dekat sini, malam tadi.

Pengarahnya, Mohamad Shukri Nawi berkata, pihaknya memeriksa 679 warga asing dalam operasi yang bermula jam 11 malam dan berakhir 4.00 pagi.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada lelaki warga Indonesia (tujuh orang), Bangladesh (82), India (25), Myanmar (24), Pakistan (empat) dan Nepal (tujuh), yang berusia antara 20-55 tahun dan bekerja di kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, semasa serbuan terdapat sebahagian mereka cuba melarikan diri termasuk terjun melalui tingkap selain bersembunyi di dalam tong sampah, longkang dan siling asrama.

Semua mereka yang ditahan akan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih dekat sini untuk tindakan susulan.

“Mereka akan disiasat atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana pas atau permit mereka tamat tempoh.

“Majikan yang menggajikan warga asing secara tidak sah ini juga akan disiasat dan dikenakan tindakan di bawah peruntukan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Jabatan Imigresen Selangor akan meneruskan operasi bagi membendung gejala pendatang tanpa izin dan majikan yang dipercayai melakukan kesalahan berkaitan imigresen.


Pengarang :