SELANGOR

JKPPT peringkat PBT mampu kurangkan projek terbengkalai

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai (JKPPT) di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dibentuk sebagai langkah proaktif Kerajaan Negeri mengurangkan projek perumahan terbengkalai, sekali gus melindungi hak pembeli, di Selangor.

EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, inisiatif itu juga selaras memastikan pemulihan projek terbengkalai dapat dilaksanakan dan dipantau secara berterusan dengan kolaborasi semua agensi.

“Fungsi JKPPT ini ialah menyediakan inventori projek terbengkalai dan bermasalah yang seragam selain bertindak sebagai penyelaras di antara pemaju atau pemaju penyelamat atau pelekuidasi dengan pihak berkaitan di PBT.

“Di samping mencadangkan langkah penyelesaian kes-kes pemaju atau projek bermasalah, ia memantau secara berkala kemajuan pelaksanaan projek baharu dan sedang dalam pembinaan bagi memastikan projek disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan sehingga sijil layak menduduki diperolehi.

“JKPPT turut menyediakan laporan kemajuan projek kepada Kerajaan Negeri dan menghadiri mesyuarat berkaitan isu ini di peringkat Kerajaan Negeri serta Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) peringkat PBT dan pemutihan PPR di sekitar Selangor, di Lobi Dewan Annex, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS), Sr Nazmi Osman.

Difahamkan, sehingga Februari lalu, sebanyak 104 projek dikenal pasti sebagai projek terbengkalai mengikut PBT di Selangor.

Haniza berkata, situasi projek bermasalah itu berpunca daripada kemajuan projek lewat dan projek yang sudah siap tetapi belum selesai serta hanya diberi CF sementara.

Sementara itu, katanya, projek terbengkalai pula berikutan tiada sebarang kemajuan selama enam bulan di bawah Perjanjian Jual Beli, bahkan projek terbabit perlu diperakukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Saya berharap penubuhan JKPPT di peringkat PBT ini akan dapat membantu menyelesaikan isu berkaitan dengan projek terbengkalai dan dapat memulihkan lebih banyak projek terbengkalai khususnya di Selangor,” katanya.


Pengarang :