NASIONAL

KEADILAN nafi wujud surat bantahan calon PRK Semenyih

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 MAC: KEADILAN menafikan pihaknya mengarahkan Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menulis sepucuk surat berkaitan sokongan terhadap calon BERSATU dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Semenyih pada Mesyuarat Biro Politik, minggu ini.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya juga tidak menerima bantahan daripada sebarang Cabang berkenaan PRK DUN Semenyih dibangkitkan atau dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

“Surat ini berniat jahat, yang cuba mengadu-domba dan menanam syak wasangka dalam kalangan anggota KEADILAN dan Pakatan Harapan.

“Jika diperhati lebih teliti, beberapa perkara termasuk nombor rujukan dan format surat juga berlainan dari surat-surat rasmi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menyifatkan tindakan ini adalah kerja musuh politik yang sudah kehilangan modal dan tidak bermaruah.

“Hentikan politik fitnah yang keji ini,” katanya.

Sebelum ini, tersebar sepucuk surat bertajuk ‘Keputusan Sokongan Tehadap Calon PPBM Pada PRK DUN N24 Smenyih’.

Surat bertarikh 28 Februari itu turut memaparkan nama Saifuddin Nasution selaku Setiausaha Agung KEADILAN berserta tandatangan.

 

 

 


Pengarang :