BERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor berkenan hadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-253

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor ,Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-253 yang berlangsung selama dua hari 27 dan 28 Februari di Istana Negara.

Baginda turut ditemani Dato’ Menteri Besar, Amirudian Shari yang duduk bersebelahan dalam edisi mesyuarat dipengerusikan DYMM Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah serta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat hadir buat kali pertama selepas Baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019.

Mesyuarat dua hari bermula Rabu lalu itu turut dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Terengganu.

Raja-Raja yang berangkat ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Sementara itu, Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra dan Pahang diwakili Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Mesyuarat yang bermula 10.30 pagi itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri.


Pengarang :