SELANGOR

MB hadir serikan Forum Perdana Hal Ehwal Islam

OLEH SHEEDA FATHIL

BANGI, 1 MAC : Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Masjid Bandar Seri Putra, di sini berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 1,000 orang awam, malam tadi.

Forum Perdana yang mengupas topik ‘Selangkah Seiringan’ itu diserikan lagi dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bersama isterinya Masdiana Muhamad.

Ia turut menampilkan dua panel pendakwah iaitu Ustaz Roslan Mohamed dan Ustaz Fauwaz Fadzil serta Moderator oleh Ustaz Mohd Hariri Daud.

Forum anjuran bersama Kerajaan Negeri dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Menariknya, topik ‘Selangkah Seiringan’ turut membincangkan berkenaan Islam tidak menggalakkan perpecahan atau permusuhan sesama kaum sebaliknya perlu bersatu hati dan jiwa.

Malah, umat Islam juga perlu diingatkan untuk mempunyai matlamat jelas dalam hidup dan selalu bermuhasabah diri.

Selain itu, topik itu juga menyentuh berkenaan menasihati pemimpin untuk merujuk kepada para ulama sekiranya mahukan sesebuah negara itu aman.

Malah, umat Islam juga digalakkan untuk tidak meninggi diri sebaliknya perlu membuang kesombongan sekali gus hati menjadi tenang.

Terdahulu, Masjid Bandar Seri Putra itu pernah dianugerahkan sebagai masjid terbaik di Selangor pada 2017 dan diiktiraf sebagai Masjid Mesra Orang Kelainan Upaya.


Pengarang :