NASIONAL

Lawatan kerja ke Kelantan, erat jurang antara Wilayah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 MAC: Menteri Hal Ehwal dan Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan mengadakan lawatan kerja ke Kelantan selama tiga hari mulai esok.

Berdasarkan kenyataan, lawatan itu bertujuan merapatkan jurang antara Wilayah sebagai agenda dalam tiga tahun terakhir Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak akan membiarkan mana-mana negeri tertinggal di belakang.

Justeru, bagi mencapai matlamat itu, Mohamed Azmin akan melawat setiap negeri untuk memeterai kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri terbabit.

Selaku Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan, Mohamed Azmin akan mempengerusikan Mesyuarat MTNg Kelantan Bil. 01/2019 yang akan membentangkan beberapa kertas cadangan dan pelaksanaan program pembangunan ekonomi negeri itu.

Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam perkara itu penting bagi memastikan usaha pembangunan fizikal dan sosial ke seluruh Kelantan dapat memberikan impak optimum kepada negeri dan rakyatnya.

Difahamkan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kelantan berkembang 4.9 peratus setahun bagi tempoh 2016 hingga 2017 berbanding pertumbuhan nasional sebanyak 5.1 peratus.

Manakala, pada 2017, ekonomi Kelantan menyumbang 1.8 peratus kepada KDNK nasional.

Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan terus komited menyuntik pertumbuhan dinamik di Kelantan dan kesejahteraan kepada rakyatnya.


Pengarang :