SELANGOR

LiSS bantu optimumkan pelepasan sumber air

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membangunkan sistem LUAS ‘Intelligent Support System’ (LiSS) untuk membuat keputusan bagi mengoptimumkan dan memantau kuantiti serta kualiti sumber air.

Pengarahnya, Dato’ Ir Hashim Osman berkata, sistem ini membolehkan analisa data ramalan sumber air bagi tempoh 36 jam ke hadapan dilakukan serta mengawal pelepasan air daripada empangan.

“Menerusi LiSS, kita akan maklumkan kepada Air Selangor berapa banyak ia perlu dilepaskan. Kalau jumlah air dilepaskan melebihi had diperlukan kita akan tahu.

“LiSS ini akan dapat membantu mengimbangi sumber air negeri berdasarkan kadar permintaan kerana jumlah pelepasan takungan empangan-empangan akan dilakukan berdasarkan data-data semasa keadaan sumber air yang telah dianalisa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor dihoskan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Katanya, hasil data LiSS yang digunakan sejak 2018 ini juga boleh dikongsi bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH), Air Selangor dan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyempurnakan perasmian LiSS di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

 


Pengarang :