NASIONAL

SPR gesa bakal calon buat semakan awal borang pencalonan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 25 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesa semua bakal calon Pilihan Raya kecil (PRK) N27 Rantau membuat semakan awal pengisian borang pencalonan masing-masing.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, tujuan semakan awal itu bagi memastikan bakal calon mengisi borang dengan betul dan menepati syarat serta mengelak kesilapan pada Hari Penamaan Calon.

“Langkah ini bagi menjamin kelancaran proses penamaan dan mengikut masa yang ditetapkan.

“Selain itu, ia juga dapat memberi peluang kepada calon yang tidak layak semasa semakan awal membuat persiapan sewajarnya sebelum Hari Penamaan Calon,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Kertas Penamaan Calon yang lengkap diisi dan disemak perlu dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadang kepada Pegawai Pengurus di Hari Penamaan Calon.

Katanya, bakal calon juga digesa membuat pembayaran deposit lebih awal serta mengambil pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran dibuat bagi memastikan proses penamaan calon lancar.

Bakal calon boleh membuat semakan di Pejabat Pengawai Pengurus di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sembilan.

PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan kemenangan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan di DUN itu terbatal dan tidak sah.


Pengarang :