SELANGOR

MB: Tiada keperluan anjur protes terhadap pelaku hina Nabi

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 2 MAC: Tiada keperluan untuk melaksanakan bantahan terhadap individu menghina nabi yang berlaku di perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, individu itu sudah diambil tindakan dan didakwa di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang.

Katanya, pihak menganjurkan protes itu sengaja mencetuskan kekecohan atas tujuan politik semata-mata.

“Saya dimaklumkan si pelaku itu sudah dihadapkan ke mahkamah jadi demontrasi dan desakan itu dikira sudah “obsolete” (tidak boleh digunapakai).

“Sebelum ini, mereka memberikan amaran kononnya jika kerajaan tidak mengambil tindakan, mereka mahu keluarkan bantahan tetapi kerajaan sudah tangkap, soal siasat (individu terbabit).

“Kenapa dia dilepaskan? kerana tempoh reman sudah habis dan seterusnya dia didakwa, saya fikir itu adalah proses perundangan biasa yang dilakukan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, beliau percaya rakyat Malaysia mampu menilai dan melihat sendiri isu itu sewajarnya.

“Saya yakin rakyat tahu menilai dan melihat sendiri bahawa kerajaan melakukan tindakan terbaik malahan tidak menyokong mana-mana pihak yang menghina agama apatah lagi memecahbelahkan perkauman namun kita perlu bertindak atas dasar undang-undang,” katanya.

Terdahulu, hampir 300 umat Islam berhimpun secara aman di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, bertujuan mendesak individu yang menghina Nabi Muhammad SAW dikenakan tindakan tegas.

Difahamkan, himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Selangor itu bertujuan mempertahankan kesucian agama Islam sebagai agama rasmi negara.

Pada 27 Februari lalu, seorang lelaki warga emas, Wai Foo Sing, 68, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menghina Nabi Muhammad SAW dengan memuat naik karikatur berunsurkan penghinaan dalam laman sosialnya.

Beliau yang menghadapai pertuduhan mengikut Seksyen 298A (1) (a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibicarakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim M Edwin Paramjothy.

Bagaimanapun, Foo Sing dipenjarakan selepas gagal membayar wang jaminan RM20,000 yang diperintahkan Mahkamah Sesyen.

 


Pengarang :