SELANGOR

MPSp lancar Portal Idea Bajet 2020

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SEPANG, 25 MAC: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) melancarkan Portal Idea Bajet 2020 bagi menjana idea dalam memperkasakan struktur ekonomi dan kewangan daerahnya.

Pengarah Unit Korporat dan Perhubungan Awamnya, Norrehan Amat Kasman berkata, tujuan utama portal itu adalah mengaplikasikan kemudahan teknologi sekali gus meningkatkan kecekapan sistem penyampaian.

Katanya, portal itu mengambil pendekatan ‘People Centric’ dan ‘Participang Budgeting Process’ supaya menggalakkan pembabitan masyarakat secara langsung dalam merencana program pembangunan daerah Sepang.

“Harapannya kali ini ia mendapat kerjasama daripada seluruh masyarakat Sepang dalam menyumbang lebih banyak idea untuk pembangunan kawasan setempat.

“Ia juga sebagai cara merapatkan hubungan dua hala antara MPSp dengan penduduk, selaras kehendak Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Portal Idea Bajet 2019 turut dilancarkan pada tahun lalu dan menerima 109 idea membabitkan pelbagai jenis kategori.

Norrehan berkata, antara idea tahun lalu yang diterima adalah di bawah kategori Pembangunan Baru Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Amalan Hidup Sihat melalui Pembangunan Sukan, Riadah dan Rekreasi serta Mempromosi Tahun Melawat Sepang 2020.

Portal itu akan dibuka kepada orang awam bermula 16 April sehingga 15 Mei ini melalui pautan http://ideabajet.mpsepang.gov.my/


Pengarang :