NASIONAL

PAKATAN kekal pertahan prinsip utama perlembagaan negara

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEMENYIH, 1 MAC: Komitmen Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam mempertahankan prinsip utama perlembagaan negara sentiasa kekal utuh, sekali gus menepis tohmahan tidak berasas dilemparkan parti pembangkang berhubung isu itu.

Timbalan Presiden PAKATAN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak pernah berkrompomi dengan mana-mana individu yang didapati membangkitkan isu penghinaan terhadap Raja, Nabi Muhammad SAW dan agama lain.

“Antara tuduhan terhadap PAKATAN ialah kita tidak lagi dilihat sebagai parti yang mahu memperjuangkan hak orang Melayu dan agama Islam dalam negara.

“Ia diputarbelitkan dan dibangkitkan pemimpin UMNO dan Pas yang ada di sana (berkempen). Mereka kata mereka yang sebenarnya memperjuangkan Islam dan kita tidak perjuangkan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PAKATAN), di Perkarangan Tesco Semenyih, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Presiden PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamad; Naib Presiden PAKATAN, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Terdahulu, kenyataan itu merujuk kepada dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan kerajaan PAKATAN kononnya gagal memainkan peranan dalam menangani isu penghinaan ke atas Islam dan Nabi Muhammad SAW yang semakin menjadi-jadi di negara ini.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, beliau menafikan sekeras-kerasnya seandainya wujud dakwaan mengaitkan tiada sokongan daripada kerajaan PAKATAN terhadap perjuangan Islam, khususnya untuk menangani isu penghinaan Nabi, mahupun soal Raja-Raja Melayu.

Katanya, kemungkinan parti pembangkang sudah tiada modal untuk membangkitkan isu berkenaan, terutama menjelang Pilihan Raya Kecil Semenyih, pada Sabtu ini.

“Saya berkata begini kalau (esok) nak diadakan perhimpunan mendokong perjuangan Islam kerana dikatakan kita tidak bertindak tegas untuk menangani isu penghinaan Nabi.

“Awal-awal lagi saya antara orang yang tandatangan deklarasi kerana prinsip utama yang penting akan dipertahankan ialah apa yang termaktub dalam perlembagaan negara, iaitu hak istimewa orang melayu dan hak kaum lain dalam negara.

“Selain itu, soal kedudukan Raja-Raja Melayu, Yang Dipertuan Agong sebagai ketua negara yang kita sokong kerana ia adalah sistem perpaduan dan kerjasama seluruh rakyat di negara ini,” katanya.


Pengarang :