SELANGOR

Pembersihan pencemaran Taman Eng Ann selesai sepenuhnya

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 MAC: EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian menegaskan kerja-kerja pembersihan sisa industri di kolam takungan, saliran longkang dan tanah tercemar di Taman Eng Ann siap sepenuhnya, semalam.

Menurutnya, sebanyak 28,000 liter sisa disedut menggunakan dua lori ‘vacuum suction tank’ berkapasiti 8,000 liter dan 12 tangki simpanan berkapasiti 1,000 liter setiap satu.

“Semua sisa itu dipenuhkan serta disimpan sebelum dilupuskan. Kaedah pelupusan yang bersesuaian dilakukan selepas mendapat keputusan analisa pensampelan dari Jabatan Kimia Malaysia (JKM) berkenaan jenis buangan tersebut.

“Hasil pemantauan laluan daripada longkang berdekatan kolam sehingga kunci air Bukit Naga mendapati tiada sisa-sisa lain yang dikesan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan meneruskan pemantauan di lokasi kejadian bagi memastikan kesan sisa tertinggal.

Selain itu, persampelan di titik persampelan di kolam, longkang dan outlet ke sungai juga dilakukan bagi memastikan kualiti air yang masuk ke dalam sungai tidak tercemar.

Loy Sian berkata, pesalah boleh dikenakan tindakan perundangan berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang membolehkan denda sehingga RM100,00 atau penjara maksima lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tindakan perundangan juga boleh diambil berdasarkan Seksyen 79: Larangan Pencemaran Sumber Air, Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 119, bergantung kepada keputusan analisa persampelan yang disesuaikan dengan sub-seksyen 79.

Seksyen itu menyaksikan pesalah boleh denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali .

“Terima kasih, tahniah dan syabas kepada semua agensi terlibat termasuk LUAS, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan semua pihak terlibat atas tindakan pantas membendung pencemaran di Taman Eng Ann daripada merebak.

“Tahniah juga kepada pihak PTSR yang sangat prihatin sebagai mata-mata Kerajaan melaporkan aktiviti mencurigakan yang mampu mengancam kesinambungan serta kelestarian sumber air negeri,” katanya.


Pengarang :