PBTSELANGOR

Pemilik tanah lepas tangan, asrama warga asing menjijikkan

OLEH AFIX REDZUAN

TELOK PANGLIMA GARANG, 13 MAC: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mengingatkan pemilik tanah dan bangunan yang disewakan sebagai asrama bagi menempatkan pekerja asing supaya bertanggungjawab terhadap milikan mereka terutama dalam menjaga kebersihan serta keselamatan.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, kerakusan mengaut keuntungan hasil daripada aktiviti menyewakan rumah atau bilik kepada warga asing tanpa memikirkan mengenai aspek kebersihan serta kelestarian alam sekitar amat mendukacitakan.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap asrama dan rumah yang menempatkan ratusan pekerja warga asing yang bekerja di kawasan kilang Telok Panglima Garang pada 11 Mac lalu, mendapati keadaan persekitarannya menjijik dan meloyakan.

“Pekerja warga asing ini dilihat langsung tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan serta memelihara alam sekitar dengan membuang sampah sarap terus ke dalam longkang hingga tersumbat serta ke tanah sebelah di bahagian belakang penempatan mereka.

“Kawasan belakang penempatan warga asing ini terlalu kotor dan menjijikkan hingga terdapat hampir semuanya yang berada dalam keadaan berlendir dan berlumut hijau tanpa dibersihkan dengan sebaiknya.

“Penempatan mereka ini juga telah dibina tanpa mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa hingga ada yang dibina setinggi dua tingkat tanpa ciri keselamatan selain ianya dibina di atas tanah berstatus pertanian.

“Pemilik tanah juga seharusnya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penempatan ini kerana mereka mengaut keuntungan hasil daripada sewaan terhadap pekerja asing ini,” katanya.

Hasil pemeriksaan di lokasi sama turut mendapati puluhan rumah telah dibina di atas tanah milik individu tanpa mempunyai kemudahan infrastruktur sebaiknya malahan ada rumah yang dibina hingga menutup longkang utama di tepi jalan sekali gus menyukarkan kerja pembersihan.

“Dalam pemeriksaan itu, kita turut mendapati rumah pekerja asing ini turut dijadikan tempat untuk memproses peralatan elektronik.

“Kita amat mengharapkan agar semua agensi yang bertanggungjawab seperti Tenaga Nasional Berhad dan juga Air Selangor di bawah bidang kuasa masing-masing memainkan peranan sepenuhnya bagi memastikan penempatan warga asing ini tidak menjadi tempat penyebaran penyakit mahu pun tempat pembuangan sampah.

“Ini kerana penduduk kampung yang berdekatan mengalami satu kehidupan amat tidak selesa hasil daripada pencemaran bau setiap hari yang datangnya daripada penempatan warga asing ini,” katanya.


Pengarang :