–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONALRENCANA

Pencemaran Kimia: KSM saran majikan peka elak pekerja terjejas

SHAH ALAM, 15 MAC: Kementerian Sumber Manusia (KSM) memandang serius insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Kim-Kim yang kini sudah berlarutan sembilan hari sehingga menjejas kesihatan lebih 1,000 orang awam sekitar Pasir Gudang Johor.

Susulan daripada itu, KSM menerusi kenyataannya mengesa majikan dan pekerja yang bekerja di kawasan perindustrian sekitar Pasir Gudang dan terkesan dengan pencemaran bahan kimia ini berhati-hati dan memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja mereka.

Berikut adalah kenyataan penuh KSM:

Lanjutan daripada insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Kim-Kim yang telah menyebabkan pelbagai pihak terkesan dengan isu ini, dikhuatiri kesan tersebut boleh melibatkan pekerja yang sedang bekerja dan ini akan menjadi isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang perlu ditangani oleh pihak majikan.

Pihak majikan perlu berhati-hati dan hendaklah mengadakan kawalan risiko setakat yang praktik menurut kehendak Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah KSM merupakan salah satu ahli dalam Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah dan membantu memberikan input teknikal.

Hasil pemantauan yang dijalankan oleh JKKP di kawasan terlibat mendapati terdapat beberapa bahan kimia berbahaya dikesan dan akan memberi kesan kepada pekerja yang memerlukan langkah kawalan sewajarnya.

 

Sehubungan itu, pihak majikan di kawasan yang terkesan dengan pencemaran bahan kimia perlu melaksanakan penaksiran risiko di tempat kerja dan mengambil langkah kawalan bagi mengawal risiko atau bahaya yang boleh menjejaskan keselamatan serta kesihatan  pekerja mereka.

Antara langkah kawalan minima yang boleh dilakukan adalah menggunakan Peralatan Perlindungan Diri (Personal Protective Equipment) iaitu Alat Perlindungan Pernafasan yang bersesuaian seperti 3M 6800 fullface + cartridge 3M 6006 multigas cartridge + 5N11 prefilter + 501 filter retainer dan reusable respirator 3M 6200 + 3M 6006 multigas cartridge + 5N11 prefilter + 501 filter retainer.

Jika majikan gagal mengambil apa-apa tindakan dan langkah kawalan untuk menyingkir bahaya tersebut, pekerja mempunyai hak untuk menjauhi bahaya atau aktiviti kerja tersebut jika mempunyai justifikasi yang munasabah setelah memaklumkan kepada pihak majikan, pegawai keselamatan dan kesihatan atau wakilnya seperti mana yang termaktub di bawah Konvensyen 155 (C155), Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Sumber Manusia
14 Mac 2019


Pengarang :