ALAM SEKITAR & CUACASELANGOR

Penguatkuasaan lebih ketat kepada pesalah pencemaran sungai

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menyeru Kerajaan Negeri melaksanakan penguatkuasaan serius terhadap pihak yang melepaskan sisa buangan ke sungai.

Baginda bertitah, undang-undang lebih tegas harus dibuat jika perlu kepada pesalah yang mencemarkan sungai, di Selangor.

“Beta dimaklumkan bahawa empat atau lima sungai di Selangor tercemar dengan bahan buangan daripada sisa pepejal dan sisa toksik.

“Beta menyeru kepada Kerajaan Negeri supaya melaksanakan penguatkuasaan yang lebih serius tehadap pesalah. Jika perlu, undang-undang yang lebih berat harus dibuat kepada pesalah yang mencemarkan sungai, di Selangor,” titah baginda.

Baginda bertitah, pendidikan terhadap penjagaan alam sekitar juga perlu ditambah dengan mengadakan kempen kesedaran supaya menjaga kebersihan sungai yang menjadi salah satu sumber air, di Selangor.

Minggu lalu, Selangor dikejutkan dengan insiden pencemaran sisa industri, di Taman Eng Ann, Klang.

Sebanyak 21 bahan industri ditemui dalam laporan awal kajian makmal yang dilakukan terhadap sampel pencemaran, di lokasi pencemaran.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertindak pantas melakukan kerja pembersihan termasuk menutup Kunci Air Bukit Kuda bagi mengelakkan sisa buangan masuk ke Sungai Klang.

Dalam titah baginda, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kebimbangan terhadap isu perubahan iklim dan pemanasan global yang dihadapi masyarakat dunia kini selain menyarankan supaya ia ditangani secara kolektif serta efektif.

“Kesan perubahan iklim global yang tidak terkawal juga boleh mengundang kejadian bencana alam seperti kebajaran hutan, ribut taufan dan hujan lebat yang tidak boleh di ramal sehingga menyumbang kepada berlakunya banjir besar.

“Ini akan memberikan kesan terhadap ekosistem dan memberi ancaman kepada ekonomi, rakyat serta pembangunan Selangor,” titah baginda.

Bagi tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.5 juta dalam usaha memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar dengan memberikan fokus kepada pelaksanaan tanam pokok dalam bandar serta pengindahan lanskap di sekitar bandar utama, dalam Selangor.

Selain itu, RM3.15 juta pula diperuntukkan bagi tujuan pemuliharaan alam sekitar ke atas bekas tapak pelupusan sisa pepejal.


Pengarang :