NASIONAL

PRK Rantau pada 13 April

PUTRAJAYA, 6 MAC: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, pada 13 April ini, manakala penamaan calon pada 30 Mac ini.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, SPR perlu mengadakan PRK dalam tempoh 60 hari selepas kekosongan sesuatu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau parlimen dimaklumkan secara rasmi.

Katanya, notis kekosongan kerusi DUN Rantau diterima SPR, pada 26 Februari lalu.

“Tarikh untuk pengundian awal pula ditetapkan pada 9 April dengan calon bertanding mempunyai tempoh 14 hari untuk berkempen.

“Proses penyerahan borang, penamaan calon dan penjumlahan pada hari pengundian akan diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Seri Sendayan.

“Borang pencalonan boleh mula dibeli esok,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan kemenangan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan, di DUN itu terbatal dan tidak sah.

Mohamad yang kini menjalankan tugas sebagai presiden Umno memenangi kerusi itu, sejak 21 Mac 2004.

Jumlah pengundi di DUN Rantau setakat 25 Februari lalu ialah 20,926 dan mengikut data Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, jumlah keseluruhan pengundi berdaftar ialah seramai 20,427.

Daripada jumlah itu, 54 peratus ialah Melayu, diikuti Cina 23 peratus dan India 23 peratus.


Pengarang :