EKONOMINASIONAL

Ringgit dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ekoran kekurangan pemangkin, kata peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.0750/0830 berbanding dolar US daripada 4.0700/0750 semasa ditutup pada Rabu.

Peniaga berkata ringgit dan mata wang Asia sedang pesat membangun yang lain menerima tekanan daripada dolar AS yang lebih kukuh sejajar dengan sentimen yang merosot mengenai pertumbuhan global yang lembap.

“Permintaan yang lebih tinggi terhadap dolar AS turut didorong oleh tanda-tanda ekonomi lemah yang berterusan di Eropah dan tumpuan peserta pasaran dijangka beralih kepada rundingan perdagangan AS-China yang akan datang, dijadualkan diadakan di Beijing pada minggu ini,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 3.6941/7024 daripada 3.6853/6901 semasa ditutup pada Rabu, bagaimanapun meningkat berbanding pound British kepada 5.3704/3814 daripada 5.3744/3819.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0049/0111 daripada 3.0068/0107 dan naik berbanding euro kepada 4.5832/5934 daripada 4.5910/5970 semalam. –BERNAMA


Pengarang :