NASIONAL

Ringgit didagang dalam kedudukan berhati-hati

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Ringgit dijangka didagangkan dalam kedudukan berhati-hati kepada dolar Amerika Syarikat (AS) susulan kedudukan turun naik yang melanda pasaran pesat membangun.

Dolar AS semakin mengukuh, disokong kejatuhan pound British apabila undi Brexit gagal mendapat sokongan majoriti minggu itu, manakala Turki menjalankan pilihan raya tempatan pada Ahad.

Penganalisis Penyelidikan FXTM, Lukman Otunuga, berkata walaupun sentimen terhadap ekonomi Malaysia semakin meningkat, yang dijangkakan menyokong ringgit, pengukuhan nota tempatan terus terjejas oleh faktor luaran.

“Secara teknikalnya, ringgit masih kekal dalam kedudukan yang lebih baik berbanding dolar AS berdasarkan carta harian. Dolar US/ringgit berpotensi meneruskan aliran menurun jika harga kurang daripada 4.060,” katanya kepada Bernama.

Lukman berkata kadudukan ekonomi di Malaysia agak rendah pada awal minggu ini, dengan angka Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan Nikkei (PMI) Mac menjadi tumpuan, pada Isnin.

“Para pelabur juga akan mengawasi angka perdagangan pada Khamis yang dijangkakan dapat memberikan gambaran mengenai kedudukan ekonomi Malaysia,” kata Lukman.

Sementara itu, penganalisis kanan pasaran OANDA Asia-Pasifik Jeffrey Halley berkata perkembangan rundingan perdagangan di Beijing minggu ini dan perbincangan yang diteruskan di Washington minggu depan berpotensi menyebabkan peningkatan dalam mata wang dan turun naik yang ketara, tidak mengira sama ada keputusannya baik atau tidak.

Walaupun sentimen yang bertambah baik terhadap ekonomi Malaysia, yang mungkin menyokong ringgit, peningkatan terjejas oleh faktor luaran.

“Dolar AS/ringgit dijangkakan bertahan pada paras 4.0800, dengan potensi untuk bergerak lebih tinggi daripada 4.0900 hingga 4.0950 jika perbincangan perdagangan atau data minggu depan negatif,” katanya.

Untuk minggu yang baru berakhir, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding dolar AS disebabkan kurangnya permintaan, terutama disebabkan oleh pengukuhan indeks teknikal dolar Amerika Syarikat dan prospek pertumbuhan ekonomi global yang perlahan.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada 4.0800/0850 daripada 4.0600/0650 berbanding dolar AS.

Ringgit bagaimanapun didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain minggu lepas.

Ia merosot sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0086/0128 daripada 3.0047/0096 pada minggu sebelumnya namun mengukuh berbanding euro kepada 4.5737/5809 daripada 4.5882/5959.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding pound British kepada 5.3122/3203 daripada 5.3178/3260 pada minggu sebelumnya, namun merosot berbanding yen Jepun kepada 3.6820/6872 daripada 3.6735/6784. -BERNAMA


Pengarang :