SELANGOR

S3KP UPM ruang pentadbir kongsi ilmu, kemahiran

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 MAC: Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal menganjurkan Seminar Kebangsaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (S3KP) selama tiga di Resort World Arena Genting Highlands, mulai esok.

UPM dalam kenyataannya berkata, seminar itu bertujuan memberi ruang kepada barisan pentadbir universiti berkongsi ilmu dan kemahiran dalam tadbir urus berkenaan keselamatan serta kesihatan persekitaran tempat kerja.

“Seminar ini untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan dan kebajikan kakitangan di tempat kerja.

“Ia juga bagi mengenalpasti persekitaran pekerjaan sesuai dengan keperluan fisiologi dan psikologi pekerja selain mewujudkan mekanisma pematuhan perundangan berasaskan peraturan dan peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, antara penekanan penting pada seminar itu adalah Pemberitahuan Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan, Hazard Identification Risk Assesment Risk Control, Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan MS1722:2011 & OHSAS18001:2007, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Jawatankuasa Keselamatan Kesihatan Pekerjaan.

Kenyataan itu berkata, sasaran S3KP itu adalah kepada Pengetua Kolej, Pengurus Asrama, Pegawai Tadbir, Felo Kolej, kakitangan kolej, pelajar dan pihak berkaitan di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di Malaysia.

“Harapan semoga seminar ini agar dapat menjadi pemacu dan pendorong pengurusan kolej kediaman ke arah transformasi tadbir urus berasaskan teknologi dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja,” katanya.

S3KP anjuran kolej kediaman UPM itu turut bekerjasama dengan Pejabat Timbalan Naib Canselor UPM, Majlis Perumahan Universiti Awam Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

 


Pengarang :