NASIONAL

Sebar mesej palsu, setiausaha akhbar Guan Eng lapor polis

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Satu laporan polis dibuat berhubung penyebaran mesej dan berita palsu di media sosial yang dikaitkan dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Setiausaha akhbarnya, Lutfi Hakim berkata, mesej yang disebarkan melalui aplikasi seperti WhatsApp itu adalah palsu dan bertujuan memfitnah menteri itu yang tidak pernah sama sekali mengeluarkan kenyataan seperti yang disebarkan.

Katanya, perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan rupa dan format akhbar tempatan untuk menyebar maklumat palsu dan berunsur fitnah amat dikesali.

“Mesej berkenaan disebarkan dengan niat jahat bertujuan membangkitkan sentimen perkauman, perasaan marah, tidak puas hati dan rasa kebencian terhadap menteri kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, pada Khamis lalu.
Lutfi berkata, adalah penting untuk menyemak sebarang maklumat diterima melalui media sosial atau saluran lain dengan sumber maklumat dan akhbar rasmi serta profesional.

Katanya, ia termasuk laman sesawang dan saluran Facebook serta Twitter rasmi Kementerian Kewangan.

“Penyebaran maklumat palsu adalah kesalahan di bawah undang-undang seperti Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :