Masjid Al-Noor di Christchurch, New Zealand yang diserang hingga mengorbankan 51 nyawa pada 15 Mac 2019
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor kecam serangan Christchurch

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 MAC: Kerajaan Negeri merakamkan rasa dukacita dan mengutuk sekerasnya kejadian tembakan yang berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand, hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan rasa sedih dan terkejut dengan insiden tembakan yang mencederakan 49 orang setakat 6 petang.

Sekurang-kurangnya 48 lagi cedera termasuk dua warga Malaysia. Daripada jumlah ini, 20 dilaporkan parah.

“Serangan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan ini harus dikutuk kerana ia adalah serangan ke atas manusia bertujuan untuk mewujudkan perpecahan dalam kalangan orang yang mempunyai perbezaan agama.

“Suara kesederhanaan perlu bersatu untuk mengecam keganasan yang dipacu oleh militan. Extrimis tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita.

“Saya bersama dengan semua warga New Zealand, terutamanya mangsa dan keluarga serangan ganas ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut meminta semua rakyat Malaysia di Christchurch untuk bertenang dan mendapatkan bantuan dari kedutaan tempatan jika diperlukan sehingga keadaan kembali pulih.


Pengarang :