SELANGOR

Selangor terus komited berdaya wanita negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 MAC: Kerajaan Negeri terus komited dalam usaha memberi sokongan dan memberdaya golongan wanita di negeri ini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, dasar proaktif Kerajaan Negeri dalam pemberdayaan wanita merupakan tonggak penting dalam agenda mempercepatkan penglibatan sebagai pembuat keputusan di Malaysia.

“Justeru, di Selangor, kita mewar-warkan kepada setiap premis pekerjaan di negeri ini untuk menyediakan fasiliti mesra wanita.

“Antaranya, bangunan SUK yang terlebih dahulu menunjukkan teladan dengan menyediakan fasiliti mesra wanita seperti Parkir Ibu Hamil, Bilik Laktasi dan taska.

“Saya berharap supaya bangunan Kerajaan yang lain malah premis kerja milik badan korporat juga dapat menyusul langkah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Apresiasi Kepimpinan Wanita Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Hadir sama, Isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad; EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail dan Pengerusi Institut Wanita Berdaya, Dr Daroyah Alwi.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin.

Pada masa sama, Dr Mariah berkata, Kerajaan Negeri memberi perhatian serius kepada golongan wanita dari aspek keselamatan diri dan keluarga.

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Institut Wanita Berdaya dengan melancarkan kempen #dengarsuarakami bagi memberi kesedaran dan informasi kepada wanita berkenaan jenayah yang berlaku di sekitar.

“Selain itu, kempen ini juga disambut oleh Pusat Wanita Berdaya (PWB) di setiap DUN dengan setiap PWB ini menyusun satu program Wanita Anti Jenayah dengan menganjurkan bengkel seni pertahanan diri di peringkat komuniti,” katanya.

Dr Mariah berkata, Kerajaan Negeri juga memberi penekanan khusus terhadap aspek kesihatan wanita di Negeri ini.

“Selain daripada kemudahan Skim Peduli Sihat yang disediakan, kita juga memperkenalkan Skim Kesihatan Wanita yang memberi manfaat kepada hampir 50,000 wanita di negeri ini melakukan pemeriksaan Mamogram sejak tahun 2010,” katanya.

 


Pengarang :