SELANGOR

Selangor sasar sifar pengangguran

OLEH NORHAYATI UMOR

SERDANG, 16 MAC: Selangor muncul negeri yang mencatatkan kadar pengangguran terendah, iaitu kurang dari tiga peratus.

Justeru, bagi mengekalkan atau menyasarkan kadar sifar, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri komited melaksanakan pelbagai usaha ke arah itu.

“Selangor adalah negeri yang menunjukkan prestasi baik dalam menyediakan peluang kerja kepada rakyat khususnya di sekitar Lembah Klang.

“Antara usaha yang dilakukan adalah memastikan pelaburan berada dalam keadaan baik dan konsisten.

“Jumlah projek pembangunan tertinggi ini dapat membuka ruang dan peluang pekerjaan untuk rakyat di negeri ini,” katanya ketika ditemui di Selangor Mega Job Fair 2019, di MAEPS, di sini.

Amirudin berkata, selain menyediakan peluang pekerjaan kepada setiap golongan, Kerajaan Negeri turut mementingkan kualiti dalam sesuatu pekerja.

Katanya, hal itu kerana pihaknya mahu tenaga kerja bukan sahaja sekadar mengisi kekosongan tetapi melahirkan individu berkemahiran.

“Satu lonjakan apabila kali pertama dalam tempoh 28 tahun, Selangor berjaya meraih pelaburan domestik berjumlah RM18.9 bilion.

“Pastinya kita akan terus meneliti apakah jenis pelaburan yang memberi nilai tambah selain menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor melalui lima kluster utama yang digariskan,” katanya.

Lima kluster utama itu ialah elektrikal dan elektronik, makanan dan minuman, peralatan dan jentera, sains hayat dan peralatan pengangkutan.

 


Pengarang :