SUBANG, 6 Mac — Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah melambai tangan ke arah tetamu sebelum menaiki pesawat di Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, hari ini. Baginda yang tiba pada Isnin lalu mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu pertemuan sulung baginda dengan Dr Mahathir di bawah rangka kerja Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei di Putrajaya. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Sultan Brunei berangkat pulang akhiri lawatan kerja ke Malaysia

SUBANG, 6 MAC: Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah berangkat pulang ke Brunei, pada 9.45 pagi tadi selepas menamatkan lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia, bermula Isnin lalu.

Baginda berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini disaksikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Semalam, baginda mengadakan pertemuan empat mata dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu pertemuan ulung baginda dengan Perdana Menteri itu, di bawah rangka kerja Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei, di Putrajaya.

Pertemuan empat mata selama lebih satu jam itu antara lain membincangkan hubungan dua hala kedua-dua negara dan isu yang membabitkan kepentingan bersama.

Baginda juga menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Brunei berkenaan pergerakan tahanan sebelum menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, bagi meraikan baginda di Seri Perdana.

Baginda kemudiannya berangkat menghadiri program bersama pelajar Brunei, di Kuala Lumpur.- BERNAMA


Pengarang :