NASIONAL

Lawatan PM ke Filipina teroka pelaburan baharu

MANILA, 6 MAC: Lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Manila bermula hari ini, membuka ruang kepada usahawan Malaysia meneroka bidang pelaburan baharu, di negara itu.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Filipina, Rizany Irwan Muhamad Mazlan berkata, antara bidang pelaburan baharu yang berpotensi diterokai usahawan Malaysia, di Filipina adalah industri halal.

“Malaysia sebagai negara Islam yang mempunyai industri halal yang sangat maju, patut mengambil peluang untuk merekayasakan industri halal, di Filipina termasuk dalam sektor perbankan Islam, logistik halal, perkhidmatan dan sebagainya,” katanya kepada wartawan Malaysia, di sini.

Katanya, Malaysia sebagai rakan dan jiran tetangga yang rapat, boleh memainkan peranan untuk membantu Filipina dalam pembinaan kapasiti rakyat, melalui sektor ekonomi, perdagangan dan sosial terutama di selatan negara itu bagi mewujudkan pembangunan holistik, di rantau berkenaan.

Katanya, pada masa ini, terdapat syarikat Malaysia yang berpengaruh di Filipina yang terbabit dalam pelbagai sektor pelaburan seperti hartanah, perbankan, automotif, pembuatan dah hospitaliti.

Sebagai contoh, katanya, syarikat Malaysia AlloyMtd Group mendapat kontrak untuk membangunkan dua projek pusat pentadbiran kerajaan baharu ala ‘mini Putrajaya’, di Wilayah Bataan dan Nueva Ecija, di Filipina melalui unit tempatannya, MTD Philippines Inc. dengan nilai kontrak RM400 juta.

“Bagi saya, inilah yang memberi tambah nilai kepada imej negara kita di Filipina ini,” katanya.

Berkenaan perkembangan positif politik di selatan Filipina selepas ratifikasi Undang-Undang Organik Bangsamoro seterusnya penubuhan Pihak Berkuasa Peralihan Bangsamoro (BTA), katanya, ia membuka jalan kepada kerajaan dan pihak swasta Malaysia untuk meneroka peluang serta memberi dimensi baharu hubungan perdagangan dengan Filipina.

“Di selatan Filipina, secara umumnya mereka melihat Malaysia sebagai satu ‘role model’, justeru kita perlu ambil peluang ini untuk meningkatkan hubungan strategik dengan (selatan Filipina), bukan sahaja sebagai rakan damai tetapi kita tingkatkan sebagai rakan pembangunan,” katanya.

Katanya, selepas menubuhan BTA berkenaan, struktur pentadbiran selatan Filipina akan lebih teratur dan menjadi titik tolak kepada kerancakan ekonomi antara Malaysia dengan selatan Filipina serta perkembangan baharu itu perlu dimanfaatkan pelabur Malaysia.

“Kalau rakyat melihat pembangunan di sana, secara langsung mereka tidak akan melihat kepada anasir subversif kerana mereka sudah ada kelangsungan hidup.

“Bila wujud aktiviti ekonomi, pembinaan infrastruktur, ada sistem pendidikan dan kesihatan yang baik, masyarakat akan mahu terbabit dalam pembangunan di selatan Filipina,” katanya.

Malaysia adalah rakan pelaburan kedua terbesar di Filipina selepas Singapura dalam kalangan negara ASEAN dan merupakan rakan kelima pelaburan terbesar dengan Pelaburan Langsung Asing US$287.3 juta, pada 2018 atau 8.2 peratus.

Nilai dagangan Malaysia dengan Filipina pada 2018 adalah RM26.1 bilion, meningkat 8.7 peratus berbanding RM25.5 bilion, pada 2017.

Nilai eksport Malaysia ke Filipina pula pada tahun lalu adalah RM16.92 bilion, manakala nilai import Malaysia daripada Filipina, pada tahun berkenaan RM9.19 bilion dan imbangan dagangan masih berpihak kepada Malaysia. -BERNAMA


Pengarang :