BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Sharafuddin perkenan prinsip federalisme pusat dan negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 MAC: Kerjasama kukuh antara negeri dan persekutuan mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan sejumlah RM2.6 bilion bagi melaksanakan 39 projek baru dan 274 projek sambungan dalam Rolling Plan 4 (RP4).

“Prinsip federalisme yang sihat dan matang akan dapat menjana pertumbuhan ekonomi dan memakmurkan negeri.

“Beta menyambut baik usaha Kerajaan Pusat menggubal dasar yang berteraskan pertumbuhan dan perkongsian kemakmuran.

“Dasar ini akan membangkitkan semangat kerjasama bagi berkongsi kekayaan berkonsepkan shared prosperity,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua, Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2019, semalam.

Pada masa sama, baginda turut berkenan usaha gigih Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk memuktamadkan segera pelaksanaan Projek Menaiktaraf Jambatan Klang Ketiga Fasa 2 bernilai RM485 juta bagi meningkatkan Level of Service dan mengurangkan kesesakan trafik.

Baginda turut menzahirkan kegembiraan dengan keputusan kementerian itu meneruskan 14 projek pembangunan yang ditangguhkan sebelum ini dengan kos keseluruhan berjumlah RM167 juta.

“Beta difahamkan pelbagai kementerian dan agensi pelaksana di peringkat Pusat sedang berbincang dengan Kerajaan Negeri berhubung 74 projek baru dalam wish list Kerajaan Negeri.

“Ini termasuk Projek Pengukuhan Tebing Sungai Aur, Daerah Klang, sudah diluluskan untuk pelaksanaan dalam tahun 2019 dengan kos projek berjumlah RM15 juta.

“Beta yakin hubungan yang baik di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus diperkukuhkan pada masa depan demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran bersama,” katanya.


Pengarang :