PBTSELANGOR

12 PBT terima lima bintang, Sultan Selangor ucap tahniah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan ucapan tahniah kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri atas penarafan lima bintang.

Baginda bertitah, Selangor adalah antara tiga negeri yang berjaya mencatatkan prestasi 100 peratus memperoleh penarafan itu.

“Beta mengucapkan tahniah kepada semua PBT kerana berjaya memperoleh lima bintang dalam Sistem Penarafan Bintang yang dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu.

“Justeru, ia adalah satu bentuk pengiktirafan kepada PBT ini yang sentiasa cemerlangdalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua, Dewan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2019, semalam.

Selangor mempunyai 12 PBT iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Bandaraya Shah Alam serta Majlis Perbandaran Klang, Subang Jaya, Sepang, Selayang juga Ampang Jaya dan Kajang.

Selain itu, Majlis Daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

Pada masa sama, baginda menitahkan supaya pegawai Kerajaan Negeri bekerja bersungguh-sungguh, berintegriti dan memberikan komitmen tinggi kepada tugas yang diamanahkan.

Titah Sultan Sharafuddin, ia termasuk petugas yang banyak berurusan dengan kepentingan rakyat.

“Antara perkara perlu diatasi oleh PBT pada masa ini ialah memastikan sisa pepejal dapat diuruskan dengan sistematik dan berkesan.

“Sampah sarap di sesebuah kawasan perlu dilupuskan dengan cara terbaik supaya tidak akan timbul masalah longgokan sampah tidak terkawal serta boleh mengakibatkan pencemaran bau dan membawa penyakit.

“Selain daripada itu, PBT perlu mengawasi dan mengambil tindakan tegas kepada pengusaha restoran serta kedai makan yang tidak menjaga kebersihan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjamin,” titah baginda.


Pengarang :