SELANGOR

Taman Botani ditutup, tumpu kerja pembaikan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 MAC: Taman Botani Negara di Bukit Cherakah, dekat sini, kini ditutup kepada pengunjung, sehingga 31 Mac ini.

Pegawai Perhubungan Awam Taman Botani Negara, Nurul Wardina Abdullah berkata, ia bagi membolehkan kerja pembaikan dan pembersihan dilakukan ekoran ribut yang melanda, baru-baru ini.

Katanya, Taman Botani itu juga dijangka beroperasi semula, pada 1 April ini.

“Ribut itu menyebabkan tiga rusa dewasa mati selain banyak pokok tumbang serta kerosakan kemudahan tapak aktiviti riadah.

“Selain itu, sebuah kenderaan rosak teruk di cermin depan tetapi anggaran kerugian masih belum diperolehi,” katanya.

Difahamkan, kerja pemulihan itu turut membabitkan pemotongan pokok berskala besar melintangi setiap laluan serta membersihkan beberapa kawasan yang terjejas teruk.

Seramai 80 petugas Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian, Jabatan Perhutanan Negeri dan kakitangan Taman Botani terbabit dalam usaha pembersihan dan pembaikan itu.

Sementara itu, Jabatan Metereologi Malaysia memaklumkan ribut petir yang berlaku di sebelah petang di beberapa kawasan termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor akan berterusan, sehingga Jumaat ini (16 Mac).

Ia berlaku disebabkan perubahan corak angin dari timur laut kepada pelbagai hala yang menggalakkan pembentukan awan petir kumulunimbus.

Sehubungan itu, MetMalaysia menasihatkan penduduk di kawasan berkenaan berwaspada bagi mengelak kejadian tidak diingini.


Pengarang :