SELANGOR

Tambah baik sistem penyampaian perkhidmatan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MAC: Sistem penyampaian perkhidmatan pelanggan Kerajaan Negeri akan terus ditambah baik dari masa ke semasa dalam usaha mengurangkan aduan rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, terdapat prosedur atau sistem di sesuatu agensi tidak berfungsi dengan efisyen dan akan menyumbang kepada peningkatan aduan daripada masyarakat.

“Justeru, kerajaan akan meneliti masalah itu dengan memperhalusi sistem yang sedang digunapakai.

“Kerajaan juga akan mengenal pasti ruang dan peluang yang perlu ditambah baik, bukan hanya memandang kepada masalah mengikut individu.

“Apabila sesuatu aduan atau permasalahan rakyat tidak dapat diselesaikan, kerajaan perlu melihat kepada seluruh sistem,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Sabak, Ahmad Mustain Othman di sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.

Amirudin berkata, sejak Januari lalu sekurang-kurangnya 10 sesi babitkan urus, naziran, temu siasat dan bimbingan oleh Bahagian Korporat pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri turun padang bersama agensi berkaitan.

Pada masa sama, beliau berkata, bilangan aduan meningkat setiap tahun adalah indikator kesedaran rakyat mengenai kemampuan kerajaan yang dapat membantu mereka menyelesaikan masalah.

Katanya, ini membuktikan bahawa rakyat yakin terhadap ketersediaan dan kemampuan kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.

“Namun, setiap permasalahan dan aduan yang dirujuk ada limitasi serta punca kuasa atau garis panduan tertentu yang mengawal selia.

“Contohnya, kerajaan sama sekali tidak boleh mencampuri aduan yang tidak menepati syarat seperti digariskan dalam peraturan pekeliling yang sedang berkuatkuasa seperti aduan kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis atau sedang dibicarakan di mahkamah.

 


Pengarang :