NASIONAL

Teruskan program ekonomi demi manfaat rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) perlu peka terhadap penderitaan rakyat dengan menjana program ekonomi bagi menjamin keselesaan mereka tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sekali gus akan dapat menangani kerjasama Umno dan PAS serta kenyataan bersifat perkauman yang menjadi trend perkembangan politik masa kini.

“Keutamaan negara menjana pertumbuhan ekonomi, justeru sebarang usaha mengkhianati amanah atau persefahaman bersama berkenaan dasar dan kepimpinan akan dibantah keras.

“Justeru, PAKATAN perlu utuh dan pemimpin perlu peka terhadap rakyat dan program ekonomi diteruskan bagi menjamin keselesaan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Anwar berkata, kekalahan PAKATAN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih dilakukan secara gopoh sedangkan sokongan orang Melayu tidak banyak berubah.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi meraih 19,780 undi.

Zakaria mendapat majoriti 1,914 undi bagi menewaskan calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi dan calon Bebas iaitu Kuan Chee Heng (725 undi) serta Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia (847 undi).


Pengarang :