GLOBAL

Thailand mengundi semula sejak rampasan kuasa 2014

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 24 MAC: Kira-kira 50 juta pengundi Thailand kini sedang melalui proses pilihan raya umum kali pertama sejak berlakunya rampasan kuasa pada 2014.

BNC News melaporkan, Thailand telah melalui ketidakstabilan politik selama bertahun lamanya gara-gara sebahagian penduduknya menyokong tentera sementara masih ada yang terus memberi sokongan kepada bekas mantan Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.

Selepas merampas kuasa daripada Thaksin, pihak tentera berjanji untuk mengembalikan ketenteraman dan demokrasi, tetapi telah berkali-kali menunda pilihan raya umum.

Kali ini lebih daripada tujuh juta penduduk Thailand yang berusia antara 18 hingga 26 tahun layak untuk mengundi buat kali pertama, ia sekali gus menjadi kunci kemenangan bagi parti yang bertanding.

Semalam, Raja Maha Vajiralongkorn Thailand menitahkan supaya proses pengundian berlangsung secara aman dan tenteram.

Kenyataan itu dipaparkan menerusi stesyen televisyen kebangsaan dan turut menggesa pengundi untuk menyokong orang yang baik.

Jumlah keluar mengundi dijangka tinggi untuk memilih 500 kerusi di Dewan Perwakilan sekali gus membentuk kerajaan demokrasi baharu walaupun sebahagian kerusi di Senat dipilih secara langsung oleh tentera.

Setiausaha Agung Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand, Jarungvich Phumma berkata, sebanyak 92,320 pusat pengundian di 77 wilayah dibuka hari ini.

“Pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi (waktu tempatan) dan ditutup pada jam 5 petang,” katanya.

Keputusan tidak rasmi di beberapa kawasan dijangka diumumkan beberapa jam selepas itu.


Pengarang :