SELANGOR

Tingkat pembabitan belia dalam aktiviti sukarelawan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 17 MAC: Pembabitan orang muda dalam aktiviti kesukarelawanan perlu dipertingkatkan bagi memastikan sikap baik itu tidak ditelan zaman.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, orang muda adalah pewaris negara, maka semangat kesukarelawanan perlu disemat dalam sanubari mereka.

“Pembabitan orang muda perlu dipertingkatkan, demi memastikan semangat ini tidak hilang ditelan arus zaman.

“Merekalah yang akan mengisi dan mencorak masa depan negara,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Peringkat Selangor 2019, di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan syabas kepada RELA Selangor kerana bertapak di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, di seluruh Selangor.

“Penubuhan Briged RELA Siswa Siswi atau RELASIS adalah satu inisiatif baik dalam melebarkan jaringan aktiviti kesukarelawanan berteraskan keselamatan kepada anak-anak muda kita.

“Harapannya Briged RELASIS dapat dikembangkan lagi ke semua institusi pengajian tinggi awam di seluruh negeri,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukan RM 10 juta dalam Belanjawan 2019 kepada aktiviti kesukarelawanan.


Pengarang :