BERITA UTAMASELANGOR

Ulang tahun RELA paling istimewa dengan kehadiran MB

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 MAC: Sambutan Hari Ulang Tahun RELA ke-47 peringkat Selangor 2019 disifatkan sebagai sambutan paling istimewa berbanding tahun sebelumnya.

Pengarah RELA Selangor, Nor Zahidi Abdul Rahman berkata, hal itu kerana buat pertama kali sambutan ulang tahun terbabit dihadiri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

“Saya agak terkejut kerana begitu ramai yang hadir apabila mendapat tahu Dato’ Menteri Besar akan hadir sehingga beliau terpaksa menggambil masa lama untuk bersalaman dengan anggota RELA yang menunggu di sepanjang laluan karpet merah.

“Dalam banyak-banyak Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun RELA, sambutan kali ini paling istimewa dan amat bermakna buat kita semua.

“Walaupun pada kali ini majlisnya dalam skala kecil, lebih sederhana berbanding tahun sebelum ini tetapi cukup istimewa kerana buat pertama kali majlis sambutan peringkat negeri diraikan bersama Dato’ Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun RELA Ke-47 peringkat Selangor 2019 yang dirasmikan Amirudin, di Dewan Al-Jazari Politeknik Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Pada majlis itu, ketibaan Amirudin disambut dengan perbarisan diikuti upacara pemeriksaan kawalan kehormat oleh beliau.

Selain itu, pertunjukkan tempur tanpa senjata membabitkan kira-kira 20 anggota RELA turut dipersembahkan.


Pengarang :