JOHOR BAHRU, 13 Mac — Seorang pelajar yang lemah dibawa menggunakan kerusi roda ketika menerima rawatan awal di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih hari ini dipercayai susulan pencemaran sisa kimia. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Dua pusat rawatan ditutup, diganti ke Stadium Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 15 MAC: Dua pusat rawatan awal mangsa pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang ditutup, petang semalam ekoran keduanya berada di Zon Merah iaitu radius satu kilometer dari Sungai Kim Kim.

Dua pusat rawatan itu adalah Dewan Komuniti Taman Pasir Putih dan Dewan Taman Mawar, Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata berikutan itu, Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana, memutuskan kedua-duanya ditutup, kira-kira 6 petang semalam lalu digantikan dengan pembukaan pusat rawatan awal di Stadium Tertutup Pasir Gudang.

“Stadium Tertutup Pasir Gudang terletak di zon hijau iaitu kawasan selamat dengan jaraknya lima kilometer dari kawasan tercemar dan dapat menampung ramai mangsa,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Gerakan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana, di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata sehingga semalam, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai terdapat pencemaran air yang tersebar sehingga ke Sungai Tiram dan dakwaan pencemaran merebak ke Pelabuhan Johor.

Beliau turut menegaskan, bagi memastikan keadaan terus terkawal, orang awam terutamanya penduduk diminta supaya tidak datang ke kawasan tercemar bagi menyaksikan kerja-kerja pembersihan kerana kawasan berkenaan terdedah kepada bahaya jika tidak memakai pakaian bersesuaian.

“Orang ramai juga dinasihati segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala loya, muntah, pedih mata, sakit dada dan sesak nafas di pusat rawatan awal, di klinik atau hospital berdekatan,” katanya.

Katanya, penting bagi orang awam terutama kanak-kanak dan warga emas untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah serta sentiasa memakai penutup hidung dan mulut.

— BERNAMA


Pengarang :