BERITA UTAMASELANGOR

AADK Selangor komited bantu penduduk setempat banteras dadah

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

PETALING JAYA, 7 APRIL: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor komited membantu penduduk setempat membasmi dadah melalui Mini Karnival Mesra Komuniti anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Mentari Court Fasa Satu, hari ini.

Penolong Pegawai Antidadah Cawangan Pencegahan AADK Selangor, Nor Azilah Mohamad Said berkata, langkah proaktif itu penting bagi memastikan komuniti menyedari kesan penyalahgunaan dadah, yang juga musuh nombor satu negara.

“Melalui pendedahan berkaitan dadah, semua pihak merasakan diri mereka berperanan memantau orang sekeliling terutama pelajar sekolah dan belia.

“Ini kerana, perasaan ingin tahu mereka  tinggi serta pengaruh rakan sebaya bagi mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini di Mini Karnival Mesra Komuniti di Perkarangan Taman Mentari Court Fasa Satu, hari ini.

Katanya, susulan lambakan warga asing di sekitar kawasan itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut mengadakan beberapa program lain bagi membasmi gejala tidak bermoral.

Terdahulu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mewujudkan Pelan Tindakan Pemerkasaan Rukun Tetangga bagi memantapkan fungsi KRT di peringkat akar umbi.


Pengarang :