NASIONAL

Anggota trafik kawal lalu lintas cedera dirempuh kereta

KUALA LUMPUR, 2 APR: Seorang pemandu kereta ditahan apabila merempuh seorang anggota polis trafik yang sedang mengawal lalu lintas di persimpangan lampu isyarat Jalan Raja Laut di sini di mana video insiden itu tular di media sosial hari ini.

Dalam kejadian 8.11 pagi itu, anggota trafik berkenaan yang berdiri dalam petak kuning dirempuh secara tiba-tiba oleh sebuah kereta jenis Mercedes E200 yang dipandu lelaki berusia 25 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata akibat rempuhan itu,anggota trafik berkenaan yang berusia 22 tahun tercampak dan mengalami kecederaan ringan.

“Anggota trafik itu kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan pemandu kereta berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih dijalankan.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui laman twitternya memuat naik rakaman kamera litar tertutup yang memaparkan kejadian anggota trafik itu dirempuh.

Menerusi rakaman berdurasi 45 saat itu, anggota trafik itu yang berada dalam petak kuning sedang mengawal lalu lintas apabila dirempuh sebuah kereta dari arah hadapannya lalu terpelanting.

Anggota trafik itu kemudian bangun semula selepas dilanggar.

Dalam rakaman video itu pemandu kereta berkenaan dilihat keluar dari kenderaannya dan menuju ke arah anggota trafik tersebut dan beberapa orang penunggang motosikal juga kelihatan menghulurkan bantuan.

– BERNAMA


Pengarang :