NASIONAL

APMM tahan tiga bot dinaiki 24 nelayan Vietnam

KUANTAN, 14 APR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang, menahan tiga bot dinaiki 24 nelayan dipercayai dari Vietnam kerana menangkap ikan dalam perairan dalam negara, semalam.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, mereka ditahan pada 8 pagi semalam, semasa berada dalam kedudukan kira-kira 93 batu nautika dari timur Kuantan.

“Semasa ditahan, mereka sedang khusyuk menangkap ikan dan pemeriksaan ke atas tiga bot itu menjumpai hasil laut yang dianggarkan melebihi enam tan.

“Sehubungan itu APMM menahan mereka untuk siasatan lanjut, dan jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan hampir RM3 juta,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Zulkarnain menambah tiga tekong dan 24 awak-awak yang berusia antara 18 hingga 59 tahun itu juga didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.

“Jika disabitkan kesalahan, tiga tekong itu boleh didenda sehingga RM1 juta seorang dan penjara maksimum tiga tahun manakala awak-awak boleh didenda sehingga RM100,000 seorang dengan penjara maksimum dua tahun,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :