NASIONAL

Bersama jadikan Malaysia negara model dihormati dunia

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 2 APR: Penjawat awam diingatkan sentiasa berdoa dan berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara model yang sentiasa dihormati di dunia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tidak akan diberikan pelbagai gelaran memalukan sekiranya negara dihormati oleh negara-negara lain.

“Isi kandungan doa kita bukan sekadar meminta daripada Allah tetapi Allah menyuruh kita berusaha dan kita dalam keadaan boleh berusaha ke arah membangunkan negara yang dihormati dunia.

“Kita akan merasa malu kalau negara ini dihina oleh dunia, diberi nama-nama tidak baik tetapi kita tentu merasa bangga apabila negara kita disebut orang asing sebagai sebuah negara contoh dan model sebuah negara yang baru sahaja bebas cengkaman penjajah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana di sini, hari ini.

Katanya, perkara itu boleh dicapai sekiranya semua pihak berdoa dan berusaha mencapainya.

Sementara itu, lebih 100 penjawat awam di Jabatan Perdana Menteri mendengar amanat yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

 


Pengarang :