NASIONAL

Bersatu ke Sabah beri sokongan penuh kepada Warisan

PETALING JAYA, 4 APR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memberi sepenuh sokongan kepada Kerajaan Sabah pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu itu menegaskan kehadiran Bersatu di Sabah bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan merebut mana-mana jawatan.

“Kita pergi ke Sabah untuk mengadakan parti Bersatu di Sabah dan parti Bersatu ini bukan bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada (di sana),sebaliknya kita akan sokong sepenuhnya kerajaan Warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini, semalam.

Dr Mahathir turut mengakui menjelang majlis pelancaran parti itu di Sabah Sabtu ini, ada cubaan pihak tertentu mengambil kesempatan melaga-lagakan Bersatu dan Warisan.

“Ada pihak-pihak yang mungkin tidak setuju dengan parti Warisan yang akan cuba mempengaruhi keadaan parti Bersatu untuk diperalatkan bagi menentang kerajaan Warisan,” katanya.

Dr Mahathir, bagaimanapun, berkata pihak berkenaan tidak akan diambil menjadi anggota Bersatu.

“Mereka itu tak payahlah nak suruh masuk jadi ahli Bersatu kerana parti Bersatu ini berpendirian untuk sokong kerajaan Warisan di Sabah, kita beri pengakuan tentang perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata Bersatu akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada Mei ini bagi membolehkan perlembagaan parti itu dipinda.

Katanya, pindaan itu membabitkan antara lain cara mengurus parti di peringkat cawangan, bahagian dan ibu pejabat.

Sementara itu, Dr Mahathir menegaskan sekali lagi Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih jawatan perdana menteri selepas beliau berundur.

Mengulas dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bahawa beliau (Dr Mahathir) tidak mahu Anwar menggantikannya sebagai perdana menteri, Dr Mahathir berkata: “Dia ada hak untuk buat pendapat dia, tetapi saya dah buat kenyataan bahawa apabila saya berhenti, maka Anwar akan ambil alih.”

– BERNAMA


Pengarang :