SELANGOR

Iftar bertemankan pemandangan KLCC, Menara KL di TAMU Hotel

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 13 APR: TAMU Hotel & Suites, Kuala Lumpur menawarkan harga bufet Ramadan menarik antara RM35-RM99 dengan tema ‘Selera Kampungku’ pada tahun ini.

Bertempat di Restoran Suasana@27, pengunjung berpeluang menikmati keindahan berlatar belakangkan sinaran cahaya Menara Berkembar Petronas, KLCC dan Menara Kuala Lumpur sambil menjamu selera.

Chef Sous Eksekutif, Azman Jemangin berkata, pengunjung perlu mencuba semua hidangan disediakan dengan masakan tradisional asli.

“Untuk berbuka puasa, kita mengenang semula hidangan ala kampung di Malaysia seperti kambing bakar, patin asam tempoyak, bubur lambuk, ayam sambal petai, ikan bakar dan cencaru sumbat,” katanya.

Katanya, 11 gerai akan ditempatkan dengan hidangan istimewa seperti sate daging dan ayam, nasi biryani, mee goreng mamak, aglio olio, laksa Penang serta mee kari Nyonya.

Hidangan ini turut diserikan dengan ulam-ulaman tempatan dan pengunjung juga boleh memilih pelbagai salad disediakan.

Tidak ketinggalan, hidangan daging salai gulai lemak yang menjadi hidangan tengahari dan malam pada hari biasa turut disediakan.

Bagi peminat masakan Cina, gerai China Town menawarkan yong tau foo dan lok-lok bersama sos pedas-manis yang pastinya menyelerakan pengunjung.

Buat penggemar pencuci mulut, mereka boleh menikmati pelbagai jenis kek berunsurkan coklat, bubur serta cendol durian.

Jika pengunjung mahukan privasi ketika berbuka, mereka boleh mencuba ‘Hidangan Nasi Dulang Ramadan’ yang mengandungi pelbagai herba tradisional dan rempah dimasak sempurna.

Hidangan itu menampilkan nasi biryani kambing, telur rebus, daging masak lada hitam, udang galah goreng tepung, ayam berempah, dalca sayuran, acar jelatah serta papadom.

Menu istimewa itu disediakan khas oleh Chef Ahmad Fadaly Muhammad dan hanya boleh didapati di TAMU Sky Lounge, tingkat 40 hotel.

Pengunjung berpeluang untuk mendapatkan harga lebih rendah menerusi promosi awal pembelian baucar hanya pada RM77 sehingga 2 Mei dan sah untuk digunakan bermula 6 Mei sehingga 4 Jun depan.

Harga biasa untuk bufet Ramadan adalah RM99 untuk dewasa, RM50 (warga emas) manakala RM35 (kanak-kanak).

Bagi sahur, harga dikenakan hanya RM35 seorang bermula jam 4 pagi sehingga 5.30 pagi.

TAMU Hotel & Suites turut menawarkan pakej Penginapan Ramadan dengan promosi istimewa berharga RM310 untuk dua hari satu malam untuk dua orang termasuk bilik deluxe, bufet Ramadan dan sahur.

FOTO EHSAN: TAMU HOTEL & SUITES


Pengarang :